DWP Wishlist

SHAH ALAM: DWP Wishlist. Appended below and in BM is the DWP wishlist.

ATM dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan kedaulatan negara meliputi wilayah daratan, perairan wilayah dan ruang angkasa di atasnya. Kawasan ini merangkumi sempadan daratan dan maritim yang dikongsi bersama negara jiran, dilitupi hutan hujan tropika yang padat serta bergunung-ganang dengan garisan pantai yang panjang. Anasir luar seperti kumpulan militan, mampu menyusup masuk dan bertapak di dalam kawasan hutan di Malaysia bagi menjalankan operasi insurgensi. Insiden pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013 merupakan satu pengalaman getir bagi Malaysia dan telah memberikan satu pengajaran berguna tentang pentingnya ketumbukan Angkatan Masa Hadapan untuk terus membangunkan keupayaan pertempuran hutan dan melawan insurgensi (counter-insurgency, COIN) yang kekal relevan dalam zaman moden ini.

Kawasan teras telah mengalami urbanisasi akibat dari kemunculan bandar-bandar besar berikutan kepesatan pembangunan ekonomi negara. Situasi ini menimbulkan cabaran baharu kepada ATM terutamanya dalam kemampuan bertempur di kawasan bandar dengan berkesan. Kesan operasi di kawasan terbina (Operations in Built-Up Areas, OBUA) yang tidak teratur boleh mengakibatkan kehancuran seperti yang berlaku di Mosul dan di Marawi pada tahun 2017. Oleh yang demikian, Angkatan Masa Hadapan mestilah berupaya untuk melaksanakan OBUA dengan lebih cekap dan pertempuran jarak dekat (Close-Quarter Battle, CQB) bagi memenuhi keperluan peperangan masa kini dan masa hadapan.

Sebagai sebuah negara maritim, dengan wilayah utamanya dipisahkan oleh Laut China Selatan dan mempunyai lebih daripada 800 buah pulau di sepanjang perairannya, ATM akan mewujudkan Angkatan Amfibi bagi melindungi kepentingan negara melangkau Kawasan teras. Angkatan Amfibi ini perlu dilengkapi Kapal Sokongan Pelbagai Guna (Multirole Support Ship, MRSS) yang baharu kerana kapal bantuan logistik sedia ada tidak direka untuk pelaksanaan operasi amfibi1. Selain itu, MRSS juga penting dalam pelaksanaan operasi dua wilayah dan MOOTW apabila diperlukan.

*1Kapal KD Sri Indera Sakti (1503) dan Kapal KD Mahawangsa (1504) yang telah beroperasi sejak tahun 1980 dan 1983 telah melebihi tempoh masa perkhidmatan

Dalam tempoh pelaksanaan KPP ini, keutamaan diberikan kepada peningkatan keupayaan pengesanan dengan menggunakan sistem ISTAR yang moden yang disokong dengan keupayaan membuat keputusan pantas melalui rangkaian komunikasi di bawah inisiatif NCO. Dalam penggal pertama KPP ini, ATM akan meningkatkan aspek keupayaan pengesanan. Untuk tujuan ini, Angkatan Masa Hadapan memerlukan penambahan sistem radar pertahanan udara, sistem radar pengawasan pantai dan sistem tanpa pemandu (unmanned systems) yang baharu untuk menyokong operasi di kawasan teras. Peralatan komunikasi semasa juga perlu ditingkatkan untuk mencapai komunikasi selamat dan liputan yang lebih meluas.
ATM perlu meningkatkan keupayaan kuasa tembakan tidak langsung bagi atur gerak pantas dan menembak sasaran melangkaui daratan untuk menghalang pihak yang mengancam daripada menghampiri kawasan teras. Angkatan Masa Hadapan memerlukan 155mm self-propelled howitzer (SPH) sebagai bantuan tembakan tidak langsung yang utama yang juga boleh digunakan untuk pertahanan pantai. ATM juga perlu menggantikan 105mm howitzer ringan yang telah usang dengan senjata baharu yang mempunyai jarak tembakan yang lebih jauh dan mempunyai ketepatan menembak yang lebih baik. ATM akan mengekalkan Sistem Pelancar Roket Berganda (Multiple Launch Rocket System, MLRS) sedia ada untuk kuasa tembakan tidak langsung jarak jauh.
Penggunaan pesawat pejuang moden dan Senjata Jarak Jauh (Stand-Off Weapons, SOW) bermakna ATM perlu memiliki keupayaan pertahanan udara yang lebih berkemampuan untuk mempertahankan kawasan teras dan ruang udara di atasnya. Angkatan Masa Hadapan memerlukan sistem Pertahanan Udara Jarak Sederhana (Medium Range Air Defence, MERAD) baharu yang boleh menewaskan ancaman udara dari jarak sederhana. ATM akan mengekalkan sistem Pertahanan Udara Jarak Sangat Dekat (Very Short Range Air Defence, VSHORAD) sedia ada untuk perlindungan angkatan. Dengan penambahan MERAD, ATM akan memperoleh sistem pertahanan udara berlapis bersepadu seperti yang ditetapkan dalam Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN).
Mobiliti dan kuasa tembakan penting untuk maneuver dan bertempur dalam peperangan moden. ATM perlu menggantikan Kenderaan Perisai (Armoured Vehicle, AV) yang uzur kepada yang lebih baharu dengan perlindungan yang lebih baik, meningkatkan daya tembak, ketahanan yang lebih tinggi dan kemampuan amfibi. Bagi memastikan pasukan Armor dan Mekanize boleh diatur gerak di seluruh kawasan teras yang bentuk muka buminya boleh menjadi sangat mencabar terutama di Sabah dan Sarawak, Angkatan Masa Hadapan juga memerlukan Helikopter Pengangkut Taktikal (Tactical Transport Helicopter) untuk diatur gerak secara cepat dan bot tempur untuk operasi sungai dan pantai. Sementara itu, ATM akan mengekalkan kenderaan perisai sedia ada untuk keperluan operasi semasa. Kenderaan Pembawa Trup (Troop-Carrying Vehicle, TCV) dan kelengkapan jambatan jurutera tempur perlu ditambah untuk meningkatkan daya mobiliti dalam kawasan teras.

Bagi melindungi ruang udara dan menyokong operasi daratan, operasi maritim dan operasi amfibi di kawasan teras, Angkatan Masa Hadapan memerlukan Pesawat Tempur Ringan (Light Combat Aircraft, LCA) untuk Bantuan Udara Rapat (Close Air Support, CAS), Serangan Udara Medan Tempur (Battlefield Air Interdiction, BAI) dan operasi pemintasan untuk menyokong Pesawat Tempur Pelbagai Guna (Multirole Combat Aircraft, MRCA). LCA juga akan melaksanakan peranan berganda sebagai pesawat latihan pejuang (Fighter Lead-In Trainer, FLIT) yang kini ditugaskan kepada pesawat BAE Hawk 108/208 dan Aermacchi MB-339CM. Pesawat baharu ini akan menjadi aset yang dapat mencapai keberkesanan kos serta boleh digunakan untuk pelbagai jenis misi, operasi dan latihan. ATM memerlukan LCA dengan kadar yang segera untuk meningkatkan program latihan juruterbang dan memastikan pesawat tempur yang mencukupi untuk operasi akan datang.

Bagi operasi maritim di dalam kawasan teras, ATM akan mengaturgerak Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship, LMS) yang boleh menjalankan pelbagai misi termasuk SAR dan HADR, antikeganasan dan antipelanunan, pengumpulan risikan dan peninjauan, hidrografi dan antiperiuk api. LMS adalah reka bentuk modular dan boleh dilengkapi dengan senjata dan sistem tambahan untuk memenuhi keperluan operasi masa hadapan. Oleh sebab keperluan operasi yang mendesak, ATM perlu memperoleh LMS tambahan dalam tempoh KPP ini. Angkatan Masa Hadapan juga memerlukan Bot Pemintas Pantas (Fast Interceptor Craft, FIC) dan Bot Pasukan Khas (Special Force Boat, SFB) yang sesuai untuk melaksanakan operasi di laut pesisir. ATM juga merancang untuk memperoleh Kenderaan Bawah Permukaan Autonomi (Autonomous Underwater Vehicle, AUV) dan Kenderaan Pemusnah Periuk Api (Mine Disposal Vehicle, MDV) untuk menyokong operasi maritim di kawasan teras.
Kawasan Lanjutan
ZMM sangat luas meliputi ZEE, pelantar benua dan ruang udara di atasnya. Keupayaan udara dan maritim diperlukan untuk meningkatkan MDA untuk memberi gambaran operasi yang lebih baik di kawasan lanjutan. ATM perlu mencapai Kawalan Laut (Sea Control) di permukaan dan bawah permukaan melalui Penafian Laut (Sea Denial) dan Penegasan Laut (Sea Assertion). Justeru, ATM bergantung pada dua kelas kapal perang iaitu Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) dan Kapal Ronda Generasi Baru (New Generation Patrol Vessel, NGPV) yang mampu melaksanakan operasi di kawasan ini dengan jarak, ketahanan dan keupayaan yang diperlukan. LCS baru yang dilengkapi dengan helikopter memiliki keupayaan Peperangan Anti Udara (Anti-Air Warfare, AAW), Peperangan Anti Permukaan (Anti-Surface Warfare, ASuW) dan Peperangan Anti Kapal Selam (Anti-Submarine Warfare, ASW) untuk kegunaan setiap misi yang dilaksanakan. Sementara itu, NGPV sedia ada juga boleh dilengkapi dengan sistem senjata tambahan jika diperlukan. LCS baru ini bakal menggantikan frigat dan korvet yang lebih berusia secara berkala.
MDA akan dipertingkatkan lagi dengan Pesawat Ronda Maritim (Maritime Patrol Aircraft, MPA) dan Sistem Udara Tanpa Pemandu Aras Sederhana Ketahanan Tinggi (Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System, MALE UAS) untuk melaksanakan rondaan pengawasan maritim dari udara. ATM memerlukan Helikopter Misi Maritim untuk meningkatkan keupayaan kapal tempur baru yang dijangka beroperasi pada akhir tempoh KPP ini. Setiap sistem penderia (sensor) dan sistem komunikasi dari kapal tempur, MPA, MALE UAS dan helikopter akan dirangkaikan ke Pusat NCO ATM untuk MDA yang lebih menyeluruh di kawasan lanjutan. Sistem Radar Pertahanan Udara tambahan akan membantu mencapai litupan radar yang menyeluruh dan pengawasan ruang udara sepanjang masa 24/7, kawalan ruang udara dan tindakan penguatkuasaan.
Kerajaan memperakui bahawa melindungi dan mempertahankan kawasan lanjutan adalah sangat mencabar untuk ATM. Sehubungan itu, kerjasama dengan agensi keselamatan yang lain seperti APMM dan pihak berkuasa seperti Jabatan Perikanan dapat memperluaskan liputan untuk melindungi ZMM. ATM juga dipertangggungjawabkan untuk membantu tugas penguatkuasaan bagi menyokong agensi keselamatan yang lain.

Kawasan Hadapan
Untuk melindungi dan mempertahankan kepentingan nasional di luar negara dan memenuhi tanggungjawab global serta melaksanakan operasi di kawasan hadapan, ATM bergantung pada kuasa udara (MRCA, Pesawat Pengangkut Bahan Api, Pesawat Pengangkut Strategik), Angkatan Kapal Selam, dan Pasukan Khas. Untuk mempertahankan kawasan hadapan secara efektif, MRCA berupaya melaksanakan serangan strategik dan Gerak Balas Serangan Udara (Offensive Counter Air, OCA) terhadap sasaran udara, maritim dan darat. Pada masa kini, ATM bergantung kepada pesawat F/A-18D dan SU-30MKM untuk misi ini dan penggantian akan dibuat setelah pesawat-pesawat ini mencapai tempoh tamat perkhidmatan pada Rancangan Malaysia ke-14 dan ke-152. MRCA adalah sebahagian daripada elemen penting bagi mencapai kekuasaan udara (control of the air) yang merangkumi radar (sensor) dan pesawat pejuang (shooter).
Bagi serangan jarak jauh dan cegah rintang oleh angkatan laut di kawasan hadapan, ATM kini mengoperasikan dua kapal selam kelas Perdana Menteri dengan keupayaan terhad antiperiuk api serta antikapal untuk melaksanakan maneuver jarak jauh secara halimunan.3 Kedua-dua kapal selam ini telah ditauliahkan masing-masing pada tahun 2009 dan 2010, yang memberi ATM keupayaan unggul dalam memantau pergerakan kapal perang dan kapal selam asing yang melalui perairan negara.
ATM memberi keutamaan tinggi kepada kemampuan Pasukan Khas dalam melaksanakan operasi khas di kawasan hadapan. Pasukan Khas memberi kelebihan kepada kerajaan dalam melindungi kepentingan negara di kawasan hadapan. Keutamaan akan diberikan kepada Pasukan Khas ATM dalam perolehan senjata dan peralatan khusus untuk melaksanakan operasi mereka. Di samping itu, latihan dan pembangunan keupayaan akan diteruskan dengan negara sahabat dan rakan pertahanan Pasukan Khas.
ATM sentiasa menyokong Operasi Pengaman (Peacekeeping Operations, PKO) Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) di seluruh dunia dan operasi pemantauan badan antarabangsa yang lain. ATM mengambil bahagian secara aktif dalam misi PKO dan Staf Pemerhati PBB sejak tahun 1960 sehingga sekarang dengan penempatan utama sebuah batalion di United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL). ATM akan terus menyokong komitmen dasar luar Malaysia untuk keamanan sejagat serta keselamatan kolektif.
Keupayaan operasi ATM di kawasan hadapan telah terbukti berkesan dan berjaya melindungi kepentingan rakyat dan negara di luar negara. Pasukan Khas ATM adalah antara anggota keselamatan Malaysia yang pertama berada di Wilayah Donetsk, untuk merundingkan pemulangan ‘kotak hitam’ pesawat dan jenazah kakitangan dan penumpang MH17 pada tahun 2015. Pesawat TUDM telah membawa pulang 3,482 rakyat Malaysia yang terperangkap dalam konflik di Mesir melalui Op Piramid pada tahun 2011. ATM juga terlibat dalam operasi antipelanunan di Teluk Aden, Laut Arab dan Lautan Hindi semasa Op Fajar. Kapal TLDM dan Pasukan Khas ATM diatur gerak untuk mengiringi kapal-kapal dagang Malaysia dan negara lain di sepanjang perairan berisiko tinggi dan berjaya menyelamatkan MT Bunga Laurel dan anak kapalnya daripada rampasan lanun Somalia pada tahun 2011 tanpa sebarang pertumpahan darah.

* TUDM berhasrat untuk melengkapkan No 18 Skuadron kepada 18 buah pesawat Hornet dalam RMKe-12. Kombinasi F/A-18D dan SU-30MKM adalah paling ampuh di rantau ini yang memberi kelebihan kepada Malaysia berbanding negara-negara terdekat.
3 KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak dibina berasaskan kapal selam Scorpene yang direka bentuk oleh DCNS Perancis merupakan kapal selam tercanggih di rantau Asia Tenggara.

maklumat, keselamatan dan risikan-balas serta operasi perisikan khas perlu dilaksanakan di seluruh kawasan lapisan berpadu. Risikan juga boleh dilaksanakan melalui kerjasama dengan agensi perisikan di peringkat negara, serantau dan antarabangsa.
Aset dan peralatan yang lebih canggih diperlukan untuk meningkatkan pengumpulan risikan pada tahap taktikal, operasi, dan strategik. Aset-aset ini diperlukan untuk mengesan tindakan subversif atau campur tangan asing sebelum menjangkau perairan negara. Antara aset yang diperlukan termasuklah Sistem Maklumat Geografi (Geographic Information System, GIS), Sistem Pemantauan Satelit dan pengembangan Pusat Perisikan Bersepadu (Integrated Intelligence Centre, IIC).
Network-Centric Operation (NCO)
Perangkaian sistem perintah dan kawalan adalah penting untuk memastikan kelancaran pelaksanaan perintah dan penyelarasan bersama daripada pelbagai perkhidmatan ATM dalam melaksanakan operasi pelbagai wilayah. Kesinambungan dan kelancaran integrasi operasi dari peringkat taktikal ke strategik memerlukan peralatan dan sistem komunikasi yang baharu serta peningkatan komunikasi satelit yang selamat untuk dioperasikan dalam lingkaran membuat keputusan, perintah dan kawalan serta penyampaian maklumat secara optimum. Perkara ini membolehkan keputusan dibuat dengan lebih cepat untuk menghasilkan tempo operasi yang lebih pantas.
ATM perlu meningkatkan keupayaan Pusat NCO melalui perolehan peralatan dan prasarana termasuk keupayaan remote sensing yang diperlukan bagi Pemerintahan, Kawalan, Komunikasi, Pengkomputeran, Perisikan, Pengawasan, Peninjauan dan Penyasaran (Command, Control, Communications, Computer, Intelligence, Surveillance, Reconnaissance and Targeting, C4ISRT). Pusat NCO ini juga bakal mengendali Operasi Bersama yang optimum menggabungkan domain darat, laut, udara dan siber elektromagnetik untuk mencapai kesedaran situasi yang maksimum dan proses membuat keputusan yang cepat dalam mengatasi dan menewaskan ancaman pelbagai domain secara serentak.
Sistem rangkaian perintah dan kawalan penting untuk memastikan kelancaran perintah dan penyelarasan bersama unit ketenteraan pelbagai perkhidmatan ATM di beberapa medan operasi. NCO adalah sistem yang menggunakan penderia rangkaian untuk mencapai kesedaran bersama di kawasan operasi dan pusat kawalan. Pada masa kini, keupayaan NCO telah dibangunkan berdasarkan persekitaran operasi bersama secara eksperimen bagi membolehkan ATM beroperasi bersama dan operasi bersepadu melalui perkongsian maklumat masa nyata untuk beroleh keputusan cepat dan tindakan tepat bagi mencapai impak yang maksimum.
C4ISRT menyumbang secara signifikan ke arah keunggulan maklumat dalam mencapai keberkesanan misi. Elemen ini bermatlamat untuk mendapatkan kelebihan berbanding pihak lawan di kawasan operasi. Kerajaan komited dalam meningkatkan keupayaan NCO yang diperlukan dalam tempoh KPP.
Domain Siber Elektromagnetik
ATM, melalui kerjasama rapat dengan NACSA dan agensi berkepentingan lain, memainkan peranan penting dalam menyokong perlindungan CNII dari serangan siber dan elektronik yang berterusan. Operasi ATM bergantung kepada kesambungan internet dan komunikasi siber yang selamat dalam memastikan keanjalan tindakan dalam operasi harian. NCO juga memerlukan penggunaan prasarana siber yang sangat besar bagi pautan data. Semua nod ini adalah terdedah kepada tipu helah, eksploitasi atau serangan siber. Secara jelasnya domain siber adalah satu wilayah kedaulatan baru yang perlu dipertahankan dan dilindungi sepanjang masa.
Justeru, ATM merancang untuk menubuhkan Pemerintahan Siber Elektromagnetik (PSE) bagi memperkasa dan menyelaras CEMA. Tanggungjawab PSE yang dirancang untuk ditubuhkan akan meliputi operasi-operasi berikut:
i.Meningkatkan Operasi Ruang Siber. Operasi pertahanan ruang siber, operasi eksploitasi ruang siber, ofensif ruang siber serta pembangunan kepakaran siber, selaras dengan konsep pertahanan aktif seperti yang terkandung dalam MCSS;
Meningkatkan Keupayaan Peperangan Elektronik. Mengawal spektrum elektromagnetik, serang balas serangan elektronik, perlindungan elektronik dan sokongan peperangan elektronik; dan
Meningkatkan Pengurusan Spektrum. Merancang, menyelaras dan menguruskan penggunaan Spektrum Elektromagnetik melalui prosedur operasi, kejuruteraan dan pentadbiran bagi menyahkonflik semua sistem ini.

Di bawah PSE, ATM bakal menubuhkan Pusat Sokongan Peperangan Elektronik (PSPE), Pusat Peperangan Elektronik dan Siber (PPES) serta Pusat Penggabungan Maklumat Aktiviti Siber Elektromagnetik (PPM-ASE) yang akan mengoperasi CEMA, seperti di Rajah 4.2.
Rajah 4.2: Pengoperasian Aktiviti Siber Elektromagnetik ATM.

Pemangkin Bagi Membangunkan Angkatan Masa Hadapan
Keupayaan dan aset yang diterangkan dalam dokumen KPP untuk Angkatan Masa Hadapan adalah keperluan ATM bagi mendukung Visi Pertahanan Negara. KPP menyatakan keperluan realistik yang diperlukan ATM untuk melaksanakan strategi Cegah Rintang Berpadu berteraskan keupayaan sebenar. Kerajaan akan terus mengukuhkan struktur dan postur angkatan agar ATM dapat melindungi kepentingan negara dan mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah.
ATM akan terus bersandar kepada perkongsian berwibawa untuk meningkatkan keupayaan pertahanan negara. Pada masa yang sama, ATM akan mengkaji semula peranan sekundernya yang melibatkan aset dan kelengkapan yang bernilai tinggi dan kritikal dalam membantu tugas pihak berkuasa awam serta peranan dalam pembangunan negara bangsa.
Perancangan keupayaan pertahanan yang diterangkan dalam bab ini akan memacu penyusunan semula dan penyediaan keupayaan ATM untuk pembangunan Angkatan Masa Hadapan. Pembangunan keupayaan pertahanan yang dikenal pasti ini membolehkan ATM mencapai objektif yang ditetapkan berteraskan kepentingan negara manakala pembiayaan yang mapan, menjamin kejayaan perancangan ini.

— Malaysian Defence.

If you like this post, buy me an espresso. Paypal Payment

Share

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *